ISLAMABAD, 29 Mac – Penerima anugerah hadian Nobel, Malala Yousafzai kembali ke Pakistan hari ini, menurut para pegawai, dalam lawatan pertamanya sejak dia ditembak di kepala oleh seorang lelaki bersenjata Taliban enam tahun lalu kerana menyokong pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.
Ketibaan tidak diumumkan gadis berusia 20 tahun itu bersama ibu bapanya dikawal ketat di lapangan terbang antarabangsa Islamabad semalam telah mengundang banyak sekali reaksi media sosial. Ramai rakyat Pakistan memuji keberaniannya tetapi yang lain menuduhnya berkonspirasi untuk membangkitkan penentangan.
Malala dihormati di seluruh dunia kerana dasar aktivisnya, tetapi pendapat berbahagi di Pakistan yang mana sesetengah konservatif menyifatkan dia sebagai ejen Barat dengan misi untuk mengaibkan negaranya.
Dia dijangka menemui Perdana Menteri Shahid Khaqan Abbasi ketika lawatan empat hari.
“Dia akan menemui beberapa orang di sini tetapi jadualnya tidak didedahkan atas alasan keselamatan,” jurucakap pejabat luar Muhammad Faisal memberitahu AFP.

“Kami menyambut kedatangan Malala. Dia kembali ke tanah air. Itu adalah perkembangan positif,” ujarnya, dengan menyifatkan Malala ‘salah seorang dari anak perempuan kami yang muda dan bijak’, dan menambah kata bahawa rakyat Pakistan seharusnya menghormatinya.
Penduduk kampung asal Malala, Kampung Swat, yang didiaminya sehingga kejadian tembakan itu, berkata mereka gembira melihat dia kembali.
Malala menjadi simbol sejagat bagi hak asasi kemanusiaan selepas seorang lelaki bersenjata menaiki bas sekolahnya di Swat pada 9 Oktober 2012, lalu bertanya ‘Siapa Malala?’ dan kemudian menembaknya.
Dia dirawat di bandar Britain, Birmingham bagi kecederaan yang dialaminya, yang mana di situ dia juga menamatkan persekolahannya.
Selepas menjadi pemenang hadiah Nobel paling muda dalam tahun 2014, dia terus menjadi penyokong lantang bagi pendidikan kanak-kanak perempuan sementara meneruskan pengajiannya di Universiti Oxford. – AFP