Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Alu-aluan Minggu Lautan Brunei 2025

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Lebih 50 orang peserta termasuk penyelam, jurugambar, belia kreatif, wakil media, rakan pelancongan serta pencinta laut menghadiri Majlis Malam Alu-Aluan yang diadakan di Batu Bersurat, kelmarin, sebagai acara awam pertama sempena Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025. Majlis eksklusif itu turut menampilkan jurugambar lautan dan penyelam teknikal tersohor, Ram Yoro, yang berkongsi pengalaman serta hasil ekspedisinya meneroka keindahan dan misteri dasar laut Brunei.

    Ram Yoro kembali ke Negara Brunei Darussalam untuk berkongsi pengalamannya meneroka kapal karam misteri di perairan negara menerusi sesi bertajuk Exploring the Depths: The Legacy of Borneo’s Historic Shipwrecks. Dalam sesi itu, beliau mempersembahkan imej menakjubkan daripada ekspedisinya termasuk ekspedisi tahun 2019 dan yang terkini semasa Brunei Ocean Shootout 2025.

    Kisah-kisah yang dikongsikan turut membuka mata tentang keindahan serta nilai sejarah yang tersembunyi di dasar lautan Brunei.

    Ram Yoro, yang terkenal dengan teknik bonfire diving serta kepakarannya dalam merakam imej kapal karam, terumbu karang dan hidupan marin makro, kini sedang menghasilkan Dive Guide to Borneo’s Shipwrecks panduan komprehensif pertama seumpamanya yang menghimpunkan maklumat penyelaman kapal karam di rantau ini.

    Beliau turut mengetuai siri bengkel fotografi dasar laut dan penyelaman teknikal selama seminggu di tapak-tapak ikonik seperti kapal karam Bolkiah dan Petani Mistral, termasuk selaman hingga kedalaman 70 meter, memberikan peluang pembelajaran unik kepada peserta.

    Majlis dihadiri lebih 50 orang peserta termasuk penyelam, jurugambar, belia kreatif, wakil media, rakan pelancongan serta pencinta laut. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Pameran mini berkenaan Minggu Lautan Brunei 2025 dalam acara berkenaan. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    Menurut Ram Yoro, kapal karam di Brunei bukan sekadar lokasi menyelam, malah merupakan muzium hidup yang menyimpan artifak dan kisah sejarah yang berharga.

    “Tapak-tapak ini ialah khazanah budaya yang patut dipelihara,” ujarnya, sambil menegaskan kepentingan pemuliharaan warisan marin negara.

    Acara tersebut bukan sahaja membolehkan orang ramai menyaksikan hasil kerja luar biasa Ram Yoro secara langsung, tetapi turut menyediakan platform untuk perbualan bermakna mengenai pemeliharaan laut dan warisan sejarah dasar laut Brunei.

    Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada OWB 2025, rangkaian bengkel seni berinspirasi lautan, videografi dan fotografi yang dianjurkan sempena OWB 2025 dengan kerjasama Brunei Tourism dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

    Inisiatif ini bertujuan menyokong industri kreatif tempatan, mempromosikan pelancongan marin secara mampan serta memperkasa belia melalui kisah dan keajaiban lautan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda