Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Apresiasi ICAPP, AsTEN

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Bagi menghargai sumbangan para pembentang dan delegasi yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Psikologi Gunaan dan Pedagogi 2025 (ICAPP 2025) serta Mesyuarat Ketua-ketua Rangkaian Persatuan Pendidikan Guru-guru Asia Tenggara (AsTEN) kali ke-19, Majlis Malam Apresiasi telah diadakan semalam di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, Profesor Madya Dr Mohammad Shahril bin Ahmad Razimi selaku Pengerusi ICAPP 2025.

    Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr Mohammad Shahril menyatakan ICAPP 2025 memberi ruang kepada perkongsian ilmu yang bermanfaat, merangsang cetusan idea baharu serta memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara ahli AsTEN khasnya dan komuniti pendidikan serantau secara amnya.

    Majlis diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada para pembentang perdana, pembentang ucaptama dan pemimpin-pemimpin AsTEN sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.

    Persembahan kebudayaan turut menyerikan suasana, memperlihatkan keindahan seni dan warisan budaya Brunei Darussalam.

    Persidangan ICAPP 2025 akan diteruskan pada hari berikutnya dengan pembentangan ucaptama kedua serta sesi sidang selari yang dijadualkan berlangsung di KUPU SB.

    Gambar ramai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama bersama para peserta. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda