Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam baru cari makan

    Oleh Raz AS –

    Udang harimau, juga dikenali sebagai giant tiger prawn, Asian tiger shrimp dan black tiger shrimp, atau nama saintifiknya penaeus monodon, merupakan krustasea marin daripada keluarga penaeidae, genus penaeus.

    Spesies udang ini sangat mudah dikenali kerana memiliki warna yang unik, yang mana karapas atau kulit cangkerang dan bahagian abdomennya memiliki warna merah, hitam dan putih berbelang-belang. Manakala kaki depan (pereiopod) berwarna keperangan dan kaki belakang (pleopod) berwarna coklat kemerahan.

    Udang harimau dikatakan boleh membesar sehingga kira-kira 33 sentimeter atau 13 inci panjang dan mencecah berat 200 hingga ke 320 gram bagi udang betina. Manakala udang harimau jantan pula hanya boleh membesar sehingga 20 ke 25 sentimeter atau 8 ke 10 inci panjang dengan berat daripada 100 hingga 170 gram sahaja.

    Taburan udang ini boleh ditemui di kawasan perairan Lautan Pasifik, Indo-Pasifik dan Lautan Atlantik, dari timur Afrika dan Semenanjung Arab, Asia Selatan hinggalah ke Asia Tenggara dan utara Australia, termasuk teluk Mexico dan selatan Amerika Syarikat.

    Udang harimau membesar dan membiak di kawasan marin tropika dan meluangkan kebanyakan masanya daripada peringkat larva hingga sub-dewasa di kawasan muara, lagun atau kawasan berbakau.

    Udang harimau jantan boleh membesar sehingga 20 ke 25 sentimeter atau 8 ke 10 inci panjang. – GAMBAR OLEH CHEW WIN WIN
    Udang harimau adalah antara produk akuakultur terpenting yang diperdagangkan di Asia dan produk ternakan krustasea yang paling menonjol di peringkat antarabangsa. – Freepik

    Pada peringkat bibit dan ‘mandara’, udang ini boleh bertahan di kawasan air yang mempunyai tahap kemasinan serendah 1 ke 2 peratus. Udang dewasa pula selalunya ditemui di kawasan yang mempunyai dasar berlumpur atau berpasir pada kedalaman 20 ke 50 meter di perairan luar pantai.

    Udang ini selalunya aktif pada malam hari, dengan waktu siangnya dihabiskan dengan menguburkan badannya di dalam pasir dan hanya keluar mencari makan pada waktu malam.

    Berbeza dengan udang daripada keluarga yang sama, udang harimau lebih bersifat pemangsa daripada bersifat scavenger atau pemakan sisa buangan. Oleh itu, udang harimau kadang-kadang akan memakan spesiesnya sendiri yang mempunyai kulit lembut setelah menjalani proses pertukaran kulit.

    Dari segi nilainya, udang harimau merupakan antara salah satu produk akuakultur terpenting yang diperdagangkan di Asia dan produk ternakan krustasea yang paling menonjol di peringkat antarabangsa, dan memacu pengembangluasan yang signifikan dalam sektor akuakultur di banyak negara-negara membangun di Asia.

    Antara negara-negara pengeluar terbesar udang harimau di dunia adalah Vietnam, India, Indonesia, Thailand, Filipina, Malaysia dan Myanmar. Walau bagaimanapun semenjak 2002, pengeluaran udang harimau dilaporkan menurun, terutama di Thailand dan Indonesia kerana digantikan dengan ternakan udang kapur, litopenaeus vannamei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda