Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan
Gambar oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Alliance Francaise de Brunei Darussalam buat pertama kalinya telah mengadakan Majlis Makan Malam Gala French-Bruneian bersempena dengan Festival Disember Brunei (BDF) 2017 yang berlangsung di Tarindak D’Polo, Royal Polo & Riding Club, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Pemangku Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Katia Menargues.
Presiden Alliance Francaise de Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan mengenai kepentingan gastronomi Perancis yang melambangkan kebersamaan, kenikmatan rasa dan keseimbangan antara manusia dan alam.
Menurut beliau lagi, Perancis melihat gastronomi dengan penghargaan, penghormatan, kepintaran dan minat sama seperti yang mereka lakukan untuk seni lain, seperti lukisan, kesusasteraan dan teater.
Dalam ucapannya itu, beliau turut melahirkan harapan agar pengalaman menikmati budaya dan masakan Perancis dan Brunei akan mengeratkan lagi hubungan kedua-dua buah negara.
“Ini akan mengukuhkan lagi hubungan yang kukuh di antara kedua-dua negara, membina persahabatan yang lebih indah dengan pengetahuan dan maklumat yang luas terhadap kedua-dua kebudayaan melalui penghormatan dan penghargaan bersama,” jelasnya.
Manakala itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam ucapannya pula menyentuh mengenai penglibatan Alliance Francaise de Brunei Darussalam dan Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam dalam menyokong pelancongan Brunei dengan menganjurkan Majlis Makan Malam Gala French-Bruneian bersempena Festival Disember Brunei 2017 yang julung kalinya diadakan.
Bagi memeriahkan Majlis Makan Malam Gala French-Bruneian berkenaan, para tetamu turut dipertontonkan pelbagai persembahan seperti guling tangan, tarian tradisional, nyanyian, gambus, silap mata dan banyak lagi.