Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Gala rai peserta BIIBBF

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Negara Brunei Darussalam menjadi tumpuan bagi lebih 700 peserta yang terdiri daripada penggemar motosikal berkuasa tinggi dari seluruh pelosok Kepulauan Borneo yang sama-sama menyertai Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) ke-21 tahun ini.

    Sehubungan dengan itu, bagi meraikan para peserta BIIBBF ke-21, Majlis Malam Gala telah berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Pada majlis berkenaan, Yang Dipertua Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) selaku Penasihat BIIBBF ke-21, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan diteruskan dengan majlis penyampaian anugerah kepada enam orang penerima Anugerah BIIBBF Legend yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan diikuti dengan penyerahan bendera BIIBBF.

    Anugerah tersebut diberikan kepada mereka yang telah banyak memberikan sumbangan jasa dan sokongan sejak BIIBBF mula diadakan buat kali pertama.

    Penyerahan bendera BIIBBF daripada Pengiran Haji Redzuan kepada Mohd Adnan Rosdin dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf di Majlis Malam Gala BIIBBF ke-21 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PEMODA

    Penyerahan bendera BIIBBF telah disempurnakan oleh Pengiran Haji Redzuan yang diserahkan kepada Presiden Sabah Big Bikers Association (SBBA), Mohd Adnan Rosdin bin Haji Mohd Ariff selaku penganjur BIIBBF ke-22 di Sabah bagi 2024 dan seterusnya menyampaikan cenderahati berupa plak kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf.

    Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional yang diketengahkan oleh Gentara Begawan dan persembahan seni silat daripada wakil ahli PEMODA.

    Bermula pada 1998, festival motosikal berkuasa tinggi yang berprestij dan terbesar di Kepulauan Borneo itu bertujuan untuk mempromosikan pelancongan di Negara Brunei Darussalam serta Kepulauan Borneo di peringkat antarabangsa.

    Ini merupakan kali keenam Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah BIIBBF yang mana festival berkenaan dianjurkan oleh PEMODA bersama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, yang juga bersempena Festival Disember Brunei (BDF).

    Festival berkenaan sepatutnya diadakan tiga tahun lalu tetapi memandangkan situasi seluruh dunia yang dilanda wabak COVID-19 ketika itu, acara terpaksa ditunda dan berlangsung dengan jayanya pada tahun ini.

    Penganjuran festival ini adalah secara bergilir-bergilir mengikut negeri dan wilayah di Kepulauan Borneo melalui kelab-kelab induk yang dilantik iaitu LA Riders Club, Labuan; SBBA, Sabah; Ikatan Motosikal Besar Indonesia (IMBI) Pontianak, Kalimantan; Borneo Island Big Bikers (BIBB) Kuching, Sarawak; serta PEMODA, Negara Brunei Darussalam.

    BIIBBF merupakan festival motosikal berkuasa tinggi yang terbesar di seluruh Kepulauan Borneo yang menyatukan penggemar-penggemar motosikal berkuasa tinggi di Borneo, nusantara dan antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda