Thursday, May 1, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam induksi dan pelantikan Kelab Lions meriah

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 2 SEPT – Satu malam induksi dan pelantikan bersama ahli baharu untuk Kelab Lions Belait, Kelab Lions Bandar Seri Begawan dan Kelab Lions Lambir Miri telah berlangsung di Grand Ballroom Hotel V-Plaza, Kuala Belait, kelmarin.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Gabenor Daerah 308-A2 Annie Ho Chui Leng. Turut hadir ialah tetamu khas Pengarah Antarabangsa Lions, Dato’ Yeoh Wah Chin, bersama 192 ahli Kelab Lions dari seluruh Daerah 308-A2.
     
    Acara dimulakan dengan mesyuarat oleh Pegawai Pengerusi dan Presiden Kelab Lions Belait, Phyllis Jong, diikuti dengan panggilan nama oleh Pengerusi Zon 12, Linda Chia.
     
    Annie Ho Chui Leng dalam ucapannya mengambil kesempatan untuk memperingati perpaduan dan kerjasama erat yang terjalin dalam acara yang diadakan bersama oleh tiga Kelab Lions tersebut.
     
    “Malam ini kita akan menyaksikan pelantikan tiga Kelab Lions serta penyertaan empat ahli baharu dalam keluarga Lions kita. Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap kelab adalah penting untuk kejayaan keseluruhan kita,” katanya.
     
    Annie Ho Chui Leng menyampaikan Plak Melvin Jones kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Annie Ho Chui Leng menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Beliau juga mengingatkan ahli- ahli kelab tentang moto kelab We Serve, sebagai sumber inspirasi untuk terlibat dalam perkhidmatan yang bermakna kepada masyarakat serta memupuk persaudaraan dalam kalangan ahli Kelab Lions.
     
    Sebagai gabenor daerah yang dipilih, beliau turut mengetengahkan tema pilihannya iaitu Care for One yang menekankan dedikasi mereka untuk berkhidmat kepada kelab, negara dan alam sekitar.
     
    Susulan ucapan beliau, majlis perlantikan telah diadakan di mana lima ahli baharu telah dilantik bagi kelab masing-masing. 
     
    Selain itu, Annie Ho Chui Leng juga menyelia upacara pelantikan untuk merasmikan lembaga pengarah bagi tahun fiskal 2024-2025 untuk tiga Kelab Lions yang ditandakan dengan penyerahan tukul kayu kelab kepada presiden kelab masing-masing.
     
    Satu lagi kemuncak acara itu ialah pelbagai anugerah yang disampaikan kepada ahli Kelab Lions untuk memperingati pencapaian dan sumbangan mereka sepanjang tahun bagi membolehkan kelab itu menjalankan kerja-kerja amal.
     
    Antaranya ialah Plak Melvin Jones yang mengiktiraf ahli Lions yang telah memberikan sokongan dan usaha yang besar untuk memberikan impak positif terhadap keupayaan kelab mereka dalam menjalankan amal kebajikan dalam komuniti dan persekitaran masing-masing.
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda