Sunday, November 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Munajat buat julung kali secara fizikal

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Buat julung kalinya, Program Malam Munajat bagi kali ke-105 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Pertahanan telah diadakan secara fizikal bertempat di masjid tumpuan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Hadir sama, Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan. Turut hadir, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta para pegawai kanan dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan.

    Program Malam Munajat tersebut diisikan dengan tazkirah mengenai ‘Doa Kanz Al-‘Arsy’ disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Antara intipati tazkirah tersebut ialah Allah SWT telah menjanjikan kepada para pejuang pada jalan Allah dengan 100 darjat di dalam syurga, dan setiap satu darjat itu jaraknya seluas antara langit dan bumi.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa menyertai Program Malam Munajat secara fizikal buat julung kalinya. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Tazkirah yang disampaikan oleh Haji Ahmad Abdussalam. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Sementara itu, dalam sama-sama merebut rahmat dan keberkatan bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Dikir Asyraqal Badru ‘Alaina dilaungkan oleh para pegawai dan tenaga pengajar Jabatan Pengajian Islam, KHEU.

    Perhimpunan tersebut turut disertai oleh ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari 86 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua.

    Majlis diikuti dengan Doa Kanz Al-’Arsy dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin. Seterusnya bacaan Doa Munajat oleh Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, JPM, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof.

    Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim dari Kementerian Pertahanan.

    Di samping menghadiri secara fizikal, orang ramai juga mengikuti secara maya dengan melayari pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau http://www.facebook.com/pdi.kheu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda