Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-207 dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki 2025 diserikan dengan Tazkirah bertajuk Lelaki Sejati dalam Islam: Kekuatan Qawwam dan Realiti Kerentanan Jiwa yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Calon Doktor Falsafah (Psikologi Islam), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.
Dalam tazkirah beliau, menekankan bahawa konsep Qawwam membawa peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga yang bertanggungjawab, penyayang dan berhemah, serta menjaga kesejahteraan keluarganya dengan penuh hikmah. Kekuatan lelaki sejati menurut Islam tidak menafikan keperluan mengurus emosi dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Beliau turut menyeru masyarakat memahami realiti tekanan jiwa yang dialami lelaki akibat tuntutan sosial, selain meneladani akhlak Rasulullah SAW melalui tiga penekanan iaitu lelaki digalakkan mendapatkan bantuan ketika mengalami tekanan; keluarga wajar mewujudkan ruang dialog selamat; dan masjid disarankan berfungsi sebagai pusat sokongan komuniti bagi isu kesihatan mental.
Acara tersebut turut disertai para pegawai dan kakitangan JPMC yang bersiaran secara maya dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, selain penyertaan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara, warga KHEU serta para peserta dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Jabatan Perubatan Onkologi dan Unit Paliatif, Pusat Kanser Brunei, JPMC, Dr Haji Awang Zulkhairi bin Haji Mohamad dan diikuti bacaan Surah Al-Mulk oleh Eksekutif Pentadbiran JPMC, Awang Mohd Rusydi bin Haji Morsidi. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Ketua Guru Ugama JPMC, Haji Ishkandar bin Haji Buntar.
Selesai tazkirah, para pegawai dan kakitangan JPMC meneruskan bacaan Selawat Tafrijiyyah, sebelum Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Imam Tingkat III, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Muhammad Yadiy bin Haji Yussof.
Program Malam Munajat bermatlamat mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, menghayati ayat-ayat suci Al-Quran dan merafakkan doa beramai-ramai demi keselamatan negara.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat secara maya melalui pautan: http://tiny.cc/munajatkheu

