Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Munajat jelaskan kepentingan menuntut ilmu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Menuntut ilmu merupakan tanggungjawab utama setiap muslim kerana dengan ilmu, seseorang dapat memahami ajaran agama dengan benar, memperbaiki akhlak serta menjalani kehidupan berlandaskan syariat. Ia juga menjadi usaha memperoleh keberkatan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

    Perkara berkenaan antara yang dijelaskan dalam tazkirah bertajuk Adab Menuntut Ilmu Dalam Islam yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Atase Pelajaran dan Kebudayaan, Pejabat Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah, sempena Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama kali ke-198, bersempena Haflut Takharruj kali ke-13 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Acara yang berlangsung malam tadi turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin

    Munajat disemarakkan dengan penglibatan tenaga akademik dan graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qira’at Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bersiaran dari Musolla Institut berkenaan. Turut serta ialah warga kerja Pejabat Kedutaan Negara Brunei Darussalam dan para penuntut di Republik Arab Mesir, selain jemaah dari masjid-masjid seluruh negara, pegawai serta kakitangan Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), dan peserta-peserta yang mengikuti secara dalam talian dari kediaman masing-masing.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Zul Husni bin Haji Sulaiman, diikuti bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Awang Ahmad Hamizan @ Ahmad Aliridha bin Haji Laidin, Graduan dan Penerima Biasiswa KHEU.

    Doa Munajat dibacakan oleh Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh, Graduan dan Penerima Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Seterusnya, Selawat Tafrijiyyah dilantunkan oleh para siswa Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qira’at, sebelum acara diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Awang Ahmad Soleh Ibrahimi bin Haji Aminorrashid, Graduan dan Penerima Biasiswa KHEU.

    Malam Munajat ini bertujuan mengajak orang ramai mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan doa bersama dengan penuh pengharapan agar Brunei dilindungi daripada bala bencana dan penyakit merbahaya.

    Orang ramai dialu-alukan menyertai Malam Munajat yang diadakan setiap malam Sabtu secara maya melalui pautan: https://tiny.cc/munajatkheu.

    YBPehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin turut menyertai sesi Malam Munajat. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda