Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Munajat ke-205 bersama penuntut Brunei di UK

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV -Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-205 bersama Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom, kelmarin, diserikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk “berempati: Dari Tanah Air ke Bumi Tarbiyah” yang disampaikan oleh calon Doktor Falsafah (Pengajian Hadis), University of Leeds, United Kingdom, Awang Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

    Beliau dalam tazkirahnya antara lain menjelaskan bahawa setiap perjalanan bermula dengan niat, dan menekankan bahawa perantauan bukan sekadar berpindah tempat, tetapi merupakan madrasah kehidupan yang mengajar erti sabar, berdikari, disiplin, dan rendah hati.

    “Tarbiyah, bukan hanya berlaku di dalam kelas, tetapi terserlah dalam setiap ujian seperti kesejukan musim, rindu kepada keluarga, pengurusan masa, dan kekuatan iman,” jelasnya.

    Menurut beliau, setiap pengalaman di bumi asing menjadi guru yang mendidik melalui bahasa, budaya dan masyarakat setempat yang menyumbang kepada pembentukan jiwa matang dan berempati.

    Katanya lagi, solat, zikir, dan majlis ilmu menjadi benteng rohani dalam menjaga iman serta identiti diri. Jelasnya lagi, ilmu yang ditimba bukan untuk diri sendiri semata-mata, tetapi merupakan amanah untuk membina masyarakat.

    “Oleh itu, kejayaan sebenar seorang musafir ilmu adalah apabila pulang dengan hikmah, akhlak dan jiwa yang terdidik,” ujarnya.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh President Student Ireland, Awangku Md Raihaan Zeyad bin Pengiran Md Amirul Sarni, bersama penuntut-penuntut University College Dublin, Ireland.

    Ia diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai yang dipimpin oleh Timbalan Eksekutif Serantau Tadahan North, Awang Muhammad Ifwat Danish bin Adri, bersama penuntut-penuntut Lancaster University, United Kingdom.

    Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Atase Pendidikan (Pegawai Keugamaan), Awang Royzime bin Alias, bersama Pegawai Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam, Pengurus Brunei House, Pegawai Agensi Pelaburan Brunei Cawangan London serta Pegawai Unit Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam dari Brunei House, London, United Kingdom.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Selawat As-Syifa beramai-ramai yang dipimpin oleh Presiden Brunei Hall, United Kingdom, Awang Muhammad Amin Hakim bin Haji Sabri, bersama penuntut-penuntut Brunei Hall dan Brunei House, London, United Kingdom.

    Sementara itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Yang Di-Pertua BruROSA 2025/2026, Awang Mohammad Sahzwan bin Lamat, dari Loughborough University, United Kingdom.

    Acara Malam Munajat turut disertai oleh para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta individu secara maya dari kediaman masing-masing.

    Program Malam Munajat antara lain bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran.

    Selain merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

    Orang ramai turut dialu-alukan untuk menyertai program Malam Munajat secara maya melalui pautan: http://tiny.cc/munajatkheu.

    GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda