Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah memasuki minggu ke-7 dan terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga KHEU bersama keluarga dan orang ramai.
Hadir menyertai majlis malam tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut serta ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Penolong Mufti (Buhuth) Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum diikuti dengan Surah Yasin beramai-ramai dan Doa Yasin. Kemudian, majlis diisikan dengan Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai, bacaan Doa bagi Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19, seterusnya bacaan Asma’ul Husna dan Selawat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis berkenaan diadakan untuk mengajak orang ramai bagi turut serta bersama-sama mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, membaca Asma’ul Husna, berselawat dan merafakkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam.
