Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Allah SWT telah memberikan kita keupayaan untuk mengawal kenderaan dan kuasa untuk mengawal kenderaan ini hakikatnya bukanlah kita, bukan pemandu, tetapi semua itu di bawah kekuasaan Allah SWT.
Sekiranya terjadi apa-apa dalam perjalanan dunia ini, kepada Allah SWT lah kita akan kembali, dan sekiranya kita selamat, maka ucapkanlah Alhamdulillah sebagai tanda
syukur.
Perkara tersebut antara yang dikongsikan di dalam tazkirah disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, dari Masjid Ash Shaliheen bagi menyerikan lagi Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-160, kelmarin.
Program Munajat Khas itu juga diadakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu lintas Jalan Raya Sedunia 2024.
Acara turut disertai bersama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dari Surau KHEU dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi MKKJR dari Masjid Ash Shaliheen yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Turut menyertai, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, serta warga kerja di bawah KHEU, dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan juga ahli-ahli MKKJR.
Turut menyemarakkan acara ialah guru-guru dan para pelajar dari sekolah-sekolah agama di bawah Jabatan Pengajian Islam, KHEU, serta individu yang turut serta secara maya.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Haji Abdullah bin Haji Sahat, dari Surau KHEU.
Manakala Doa Munajat Khas dibacakan oleh Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, KHEU, Haji Abdullah bin Haji Mohammad.
Selesai tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Guru Agama Tingkat II, Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata, Haji Mohammad Amirul Rashid bin Haji Wahab, bersama pegawai pengajian Islam Kawasan Brunei 3, guru-guru dan murid-murid Sekolah Ugama Beribi dari Dewan Fathul Busyra Sekolah Ugama Beribi.
Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash Shaliheen, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Mohammad Izzat Izuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, dari Masjid Ash Shaliheen.