Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan lagi malam tadi bagi kali ke-46, yang disemarakkan dengan tazkirah pendek bertajuk ‘Doa Yang Pendek Namun Hebat: Al-‘Afiyah’.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis kali ini menjemput Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin selaku tetamu khas yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Al-Fatihah dari Masjid Kampung Kupang.
Turut sama mengimarahkan acara ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir dan belia dari Masjid Kampung Tanah Jambu, Masjid Kampung Kupang dan Masjid Muhammad Jamalul Alam serta jemaah dari 90 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara. Juga menyertai majlis berkenaan ialah warga KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.
Tazkirah telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dari Masjid Kampung Tanah Jambu.
Beliau antara lain menjelaskan mengenai Afiyah yang merupakan penjagaan Allah SWT, lalu diberikan keselamatan dan kesejahteraan daripada segala penyakit, fitnah, mala petaka, keburukan dan kekurangan dalam perkara pada badan zahir dan batin, pada agama dan urusan dunia dan akhirat.
Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan kerohanian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredaan Allah SWT di samping itu, berdoa agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah yang tidak diingini dan berjaya membendung penularan penyakit berbahaya seperti COVID-19.
