Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Ujian dan dugaan daripada Allah SWT kepada manusia itu bukan hanya sekadar datang dalam bentuk kesusahan ataupun kesedihan.
Tetapi ia juga datang dalam bentuk nikmat kebahagiaan dan kesenangan yakni nikmat-nikmat itu telah menjauhkan diri kita daripada mengingati Allah SWT dan mendekatkan diri kita kepada istidraj.
Perkara tersebut antara intipati di dalam tazkirah program Malam Munajat bertajuk ‘Berwaspada terhadap Istidraj’ disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Muhammad Nazir bin Haji Othman, dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) bagi menyemarakkan Malam Munajat kali ke-96 anjuran KHEU.
Hadir menyertai program itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Tetamu khas majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Danial @ Tekpin bin Ya’akub yang memimpin memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan turut disertai belia, murid sekolah dan jemaah 87 buah masjid dari seluruh negara.