Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Setiap hamba perlu mengenali Allah SWT dan mempelajari sifatnya agar timbul perasaan cinta kepadanya yang mendorong melakukan amal soleh serta menjauhi larangannya.
“Allah SWT sentiasa menerima taubat hambanya yang benar-benar tulus, bukan sekadar dengan ucapan istighfar tetapi disertai bukti melalui amal soleh dan menjauhi perbuatan maksiat”.
Perkara ini ditegaskan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin semasa menyampaikan tazkirah pada Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-203 sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2025, kelmarin.
Pengiran Ahmad Faris Ramadhani semasa menyampaikan tazkirah dari Surau Pusat Tulin Lelaki, Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik (BKN) turut mengingatkan bahawa Islam melarang menghina atau mencaci orang lain.
“Masyarakat perlu memberi sokongan kepada mereka yang tersilap agar mereka dapat memperbaiki diri, kerana setiap orang beriman adalah bersaudara dan tanda sempurna iman ialah menginginkan kebaikan untuk saudaranya sebagaimana dirinya sendiri,” jelasnya.

Program Malam Munajat turut disemarakkan oleh warga kerja Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri, di samping penyertaan jemaah dari beberapa buah masjid, warga Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta individu dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail dari Ibu Pejabat BKN, Jalan Tungku, Gadong.
Seterusnya, bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Komandan Pusat Al-Islah / Pemangku Penolong Pengarah Divisyen Rawatan dan Pemulihan BKN, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohamad Abu Nor Ali Shamsul bin Mohammad dari Surau Pusat Tulin Lelaki, Pusat Al-Islah, BKN.
Doa Munajat pula dibacakan oleh Pegawai Pelajaran / Guru Bahagian Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Osmawadi bin Haji Talip dari BKN Daerah Temburong, diikuti dengan laungan Selawat As-Syifa beramai-ramai yang dipimpin oleh Ahli Jemaah Penasihat Pusat Al-Islah, BKN bersama Residen Lelaki di Pusat Al-Islah.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Pelajaran Bahagian Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd Rozaini bin Haji Abdi Manaf dari BKN Kuala Belait.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca serta menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, dan berdoa bersama-sama agar Negara Brunei Darussalam serta seluruh rakyatnya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai program Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan: http://tiny.cc/munajatkheu.

