Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Munajat tekankan pentingnya kesihatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Kesihatan merupakan kunci kepada segala urusan kehidupan, sama ada urusan dunia seperti pekerjaan mahupun urusan akhirat iaitu ibadah kepada Allah SWT.

    Perkara ini dijelaskan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Cawangan Dakwah Daerah Belait, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli semasa menyampaikan bertajuk Sihat itu Nikmat, pada Program Malam Munajat, kelmarin.

    Dalam tazkirah itu, beliau turut berkongsi sabda Rasulullah SAW, “Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah nikmat sihat dan masa lapang”.

    Menurut beliau, hadis ini menjadi peringatan bahawa ramai yang rugi kerana tidak menghargai nikmat kesihatan. Dengan menjaga kesihatan, bukan sahaja tubuh menjadi kuat bahkan ibadah juga akan lebih berkualiti.

    Program anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-206, Khas untuk Wanita Ke-30 itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Muslimah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut, Dayang Hajah Norlah binti Haji Yaakob dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.

    Ia diteruskan dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Muslimah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut, Dayang Hajah Seroja binti Haji Siau, diikuti dengan Doa Munajat dibacakan oleh Guru Pembimbing Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut, Dayang Hajah Rusita binti Haji Yahya.

    Majlis diserikan dengan bacaan Selawat Ibrahimiyah beramai-ramai oleh Gabungan Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas dan Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut, sebelum Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, Dayang Hajah Rostina binti Haji Yahya.

    Malam Munajat bersiaran dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas itu turut disertai oleh para muslimah dari beberapa buah masjid seluruh negara, warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama serta individu secara maya dari kediaman masing-masing.

    Turut serta di program berkenaan, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Program Malam Munajat dihasratkan untuk mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran.

    Di samping merafakkan doa dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyatnya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

    Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat secara maya melalui pautan: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.

    GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda