Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Penghargaan BIBD ALAF rai rakan, pendidik

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Bagi meraikan sumbangan dan dedikasi rakan-rakan strategik, para pendidik serta sukarelawan yang bersama-sama menyokong Program BIBD Advocating Life-Long Learning for an Aspiring Future (ALAF) sepanjang tahun akademik 2025, Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) telah mengadakan majlis malam penghargaan, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan Operasi dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

    Majlis tersebut mencerminkan penghargaan tulus BIBD atas jalinan kerjasama yang kukuh bersama para pendidik dan sokongan mereka dalam memainkan peranan penting memajukan Program BIBD ALAF.

    Sumbangan mereka telah membantu melahirkan generasi yang komited terhadap kecemerlangan akademik dan nilai-nilai kebangsaan, selaras Wawasan Brunei 2035.

    Pemangku Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Awang Zulhazransa bin Haji Emran dalam ucapannya antara lain menekankan sifat inklusif dan transformasi bagi inisiatif pendidikan BIBD.

    Awang Zulhazransa semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Gambar ramai tetamu khas yang hadir semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Suasana semasa acara malam penghargaan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BIBD

    Beliau turut menyatakan, Program BIBD ALAF merupakan satu inisiatif yang inklusif dan berteraskan rakyat, disokong sepenuhnya melalui pendekatan seluruh negara dan sambutan itu juga merupakan manifestasi komitmen berterusan BIBD dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara.

    Beliau turut mengongsikan, laporan prestasi pelajar yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan pelajar Program BIBD ALAF.

    “Perkembangan ini amat menggalakkan dan membuktikan keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan dan berdasarkan keputusan awal daripada ujian pra-peperiksaan, kami yakin dan optimis para pelajar ini akan mencapai keputusan baik dalam peperiksaan tahun ini,” jelasnya.

    “Kami juga mengakui di sebalik setiap pencapaian, adanya usaha gigih para ibu bapa dan pelajar itu sendiri, serta dedikasi dan pengorbanan yang tidak ternilai daripada para guru,” tambahnya.

    Beliau turut mengongsikan sesi akademik 2025 Program BIBD ALAF telah berjaya meluaskan jangkauannya ke 67 buah sekolah di seluruh negara.

    Itu merangkumi 59 buah sekolah di bawah Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, tujuh buah sekolah di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Melalui proses pemilihan terkini, 58 pelajar baharu telah dipilih untuk menyertai program tahun 2026.

    Program BIBD ALAF setelah 12 tahun pelaksanaannya terus memberikan impak bermakna dan sehingga kini, seramai 385 pelajar telah mengikuti program ini.

    Daripada jumlah tersebut, 90 pelajar sedang melanjutkan pengajian tinggi di institusi dalam dan luar negara dan antara yang membanggakan, seorang alumni ALAF kini menjalani latihan farmasi di Hospital Torbay, United Kingdom.

    Selain itu, 12 graduan telah berjaya menamatkan pengajian universiti atau vokasional dan kini bekerja dalam bidang masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda