Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Komuniti diplomatik di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan satu majlis bagi menghargai dan mengucapkan selamat tinggal kepada Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi yang akan menamatkan tugasan rasmi mereka di Brunei iaitu Puan Yang Terutama Sengdavanh dari Republik Demokratik Rakyat Laos dan Puan Yang Terutama Alexandra dari United Kingdom.
Majlis berkenaan berlangsung di hotel Radisson malam kelmarin dengan penuh dalam suasana keakraban dan penghargaan terhadap kedua-duanya yang telah memberi sumbangan besar kepada hubungan dua hala serta memperkukuhkan jaringan diplomatik di negara ini.
Puan Yang Terutama Sengdavanh telah menyempurnakan tugasnya di Brunei selama lebih tiga tahun sejak mempersembahkan watikah pelantikannya pada 24 Mei 2022. Sepanjang tempoh berkenaan, antara peranan utama beliau adalah menjayakan lawatan negara Presiden Laos ke Brunei pada Oktober 2022 serta lawatan balas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Vientiane pada Oktober 2023.
Dalam ucapan alu-aluan di majlis berkenaan, Dekan Kor Diplomatik, Puan Yang Terutama, Gerda Winkler, Duta Besar Jerman ke Brunei Darussalam berkata ketika Laos menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2024, PYT Sengdavanh turut melaksanakan tugas penyelarasan pelbagai program serantau di Brunei dan menerima beberapa delegasi termasuk dua lawatan peringkat menteri semasa minggu-minggu terakhir beliau di negara ini. Selain itu, beliau juga telah berkhidmat sebagai Bendahari Kehormat Kor Diplomatik selama hampir tiga tahun.
PYT Sengdavanh turut menghadapi cabaran peribadi sepanjang bertugas apabila terpaksa berpisah dengan suami dan dua anak lelaki yang menetap di Washington. Namun demikian, beliau telah membawa dua anak angkatnya ke Brunei bagi mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan kini kedua-duanya melanjutkan pengajian tinggi di Kunming dan Guilin, China.
Sementara itu, PYT Alexandra yang tiba di Brunei pada Ogos 2024 bersama keluarga, telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam tempoh singkat beliau bertugas di negara ini. Hubungan akrab antara Brunei dan United Kingdom telah memudahkan beliau menjalankan tugas dan menyumbang secara aktif dalam aktiviti-aktiviti komuniti diplomatik.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada kedua-duanya. Kad ucapan perpisahan juga telah diedarkan kepada para hadirin untuk ditandatangani sebagai penghormatan dan ingatan tulus ikhlas daripada rakan-rakan diplomat.
Komuniti diplomatik Brunei mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan selamat maju jaya kepada PYT Sengdavanh dan PYT Alexandra dalam semua usaha serta tanggungjawab mereka yang akan datang di Vientiane dan London.