Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam sempurna Bayern, Ancelotti

    BERLIN, 26 Feb – Robert Lewandowski mencipta hatrik bagi membantu pendahulu Bundesliga, Bayern Munich membelasah Hamburg 8-0 di Allianz Arena, awal pagi tadi dalam perlawanan ke-1,000 Carlo Ancelotti sebagai jurulatih.

    Kingsley Coman keluar dari bangku simpanan untuk menyumbat dua gol manakala Arturo Vidal, David Alaba dan Arjen Robben masing-masing menjaringkan satu gol ketika Bayern kembali menang selepas terikat 1-1 di Hertha Berlin, minggu lalu.

    Kemenangan itu membolehkan Bayern melebarkan penguasaan liga kepada lima mata berbanding pasukan di tangga kedua, RB Leipzig yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Cologne.

    Bagi Hamburg, kunjungan ke Bavaria nyata menjadi malam yang buruk kerana mereka sudah melepaskan 36 gol sepanjang enam pertemuan terdahulu dengan Bayern.

    Vidal membuka jaringan pertama perlawanan dan Lewandowski menggandakan pendahuluan Bayern melalui sepakan penalti menjelang pertengahan separuh masa pertama, dengan pemain dari Poland itu menjadikan jaringan 3-0 sebelum rehat selepas percubaan Douglas Costa berjaya ditampan.

    Penyerang Bayern, Robert Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya bersama Douglas Costa dalam pertembungan pasukan itu menentang Hamburg di Allianz Arena. – AP
    Penyerang Bayern, Robert Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya bersama Douglas Costa dalam pertembungan pasukan itu menentang Hamburg di Allianz Arena. – AP

    Lewandowski melengkapkan hatrik kelimanya sejak bermulanya musim lepas dengan menyudahkan hantaran Robben di awal separuh masa kedua bagi jaringannya ke-19 bagi kempen ini. Dia kemudian bergandingan dengan Thomas Mueller bagi membantu Alaba mendapatkan gol kelima perlawanan, dan penderitaan Hamburg tidak berakhir di sana.

    Pemain gantian dari Perancis, Coman telah diperkenalkan dan menemui sasaran sebanyak dua kali, sementara Robben melengkapkan malam sempurna bagi Ancelotti, 57.

    Selepas perlawanan, Ancelotti ternyata berpuas hati dengan persembahan skuadnya apabila berkata: “Ia adalah hari yang sempurna, aksi sempurna. Pasukan ini amat hebat dan saya berpuas hati.”

    Dia turut memuji penyerang yang mengharungi prestasi hambar kebelakangan ini, Thomas Muller, sebagai antara penyumbang jaringan walaupun gagal menamatkan kemarau.

    “Thomas adalah tonggak utama kami hari ini. Pemain terbaik di atas padang. Dia terbabit dalam semua serangan,” kata Ancelotti yang turut gembira dengan Lewandowski yang sudah meledak 19 gol liga musim ini.

    Sementara itu, RB Leipzig mencatat kemenangan 3-1 ke atas Cologne hasil jaringan Emil Forsberg, Timo Werner dan gol sendiri Dominic Maroh, manakala Yuya Osaka menyumbat gol sagu hati pasukan pelawat.

    Borussia Dortmund pula terus memastikan peluang merebut tiket ke Liga Juara-Juara kembali pada landasan yang betul apabila meraih kemenangan 3-0 di Freiburg.

    Sokratis Papastathopoulos meletakkan skuad kendalian Thomas Tuchel di depan sebelum dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang, gol peribadinya ke-19 pada musim ini, bagi membantu skuadnya mengutip tiga mata penuh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda