MONACO, 31 OKT – Marseille terus dirundung malang musim ini selepas tersingkir daripada saingan Piala Liga Perancis apabila tewas kepada Monaco 1-2, awal pagi tadi hanya selepas beberapa hari dimalukan PSG 0-4 dalam aksi Ligue 1.
Dengan hanya satu kemenangan daripada tujuh aksi terakhir, tekanan makin memuncak di bahu jurulatih, Andre Villas-Boas apabila pasukannya kini menduduki tangga ketujuh, 11 mata di belakang juara PSG. “Babak pertama memang hambar dan kami berbincang ketika rehat. Kami kata ia tak sepatutnya dan adalah ajaib membandingkan babak pertama dengan babak kedua,” kata Villas-Boas. “Kami boleh terima tewas kepada PSG berdasarkan kualiti mereka tetapi tidak seperti ini, tewas kepada Monaco. Saya mahu menang piala ini, begitu juga pasukan. Amat memalukan kerana penyokong ada bersama kami sejak awal sehingga tamat permainan. Sekarang kami perlu memberi mereka sesuatu.”
Walaupun melakukan tujuh pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Nantes 1-0 pada aksi Ahad lalu, jurulatih Monaco, Leonardo Jardim tetap miliki senjata mencukupi untuk menghampakan Marseille. – AFP