Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malas, boros pencetus sifat buruk

    MANUSIA digesa berjuang menundukkan nafsu. Menurut Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, seberat-berat musuh bagi manusia adalah nafsu kerana ia mampu menjerumuskan manusia ke arah kejahatan di dunia ini.

    Petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu, berusaha memenuhi dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki.

    Sesungguhnya, jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk memperbetulkan tabiat serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu seperti menundukkan perasaan tamak haloba.

    Menerusi rancangan Pesona D’ Zahra, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyatakan, seberat-berat musuh bagi manusia adalah nafsu yang mampu menjerumuskan mereka ke arah kejahatan di dunia ini. Baginda SAW menegaskan dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas: “Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu.” (Riwayat al-Baihaqi)

    Hakikatnya, nafsu perlu ada dalam diri kita, tetapi nafsu itu hendaklah dididik. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

    Dalam konteks ini, salah satu contoh yang dapat dikaitkan ialah sifat boros yang lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

    Maka, wajiblah seseorang itu mendidik nafsu dan bagi tujuan itu sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan nafsu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?” (Surah al-Furqan, ayat 43)

    Berjuang tundukkan nafsu

    Berasaskan gambaran yang diberikan Al-Quran itu, Nabi Muhammad SAW menggesa umat Baginda berjuang menundukkan nafsu. Tidak dinafikan, usaha melawan hawa nafsu bukan sesuatu yang mudah dilakukan, sebaliknya menuntut seseorang itu bermujahadah dan tidak melengah-lengahkan menanganinya.

    Apabila dikatakan manusia itu hebat dalam mendidik nafsunya, ia merujuk kepada usaha berterusan menjaga dan mengawal segala nikmat anggota badan, serta pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT.

    Nafsu mempunyai dua sifat iaitu membawa kebaikan (mahmudah) dan pada masa sama boleh mendorong melakukan keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis nafsu itu saling menguasai diri seseorang.

    Jika mahmudah yang lebih kuat, maka banyak kebaikan yang dilakukan. Jika mazmumah yang lebih berkuasa, maka terjelmalah lebih banyak keburukan dan derhaka.

    Mengupas secara terperinci mengenai dua jenis nafsu yang membawa manusia ke arah keburukan, Ustaz Muhammad berkata, yang pertama, nafsu yang mengajak bersifat malas dan malas berpunca daripada syaitan.

    Jangan mudah terpengaruh dengan nafsu yang membawa kepada keburukan.
    Tidak dinafikan, usaha melawan hawa nafsu bukan sesuatu yang mudah dilakukan, sebaliknya menuntut seseorang itu bermujahadah dan tidak melengah-lengahkan menanganinya.

    Sungguh halus bisikan syaitan supaya kita tunduk kepada nafsu. Inilah yang membuatkan kita menjadi malas beribadah atau menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

    Diriwayatkan dalam satu hadis: “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan: Malam masih panjang maka tidurlah. Apabila seorang kamu terjaga daripada tidur, lalu menyebut nama Allah, nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas.”

    Seterusnya, nafsu yang disifatkan sebagai berlebih-lebihan atau melampaui batas yang disyariatkan Islam. Dalam konteks ini, salah satu contoh yang dapat dikaitkan ialah sifat boros yang lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israa, ayat 27)

    Peranan suami bimbing isteri

    Justeru, dalam institusi rumah tangga, suami perlu memainkan peranan membimbing dan menasihati isteri secara hikmah. Elakkan daripada terus menghukum atau melakukan perubahan secara drastik. Sebaliknya, dikendalikan secara berperingkat supaya pasangan mampu mengekang hawa nafsu secara berlebih-lebihan dalam urusan seharian. Sentiasalah berwaspada dalam sebarang tindakan.

    Jangan mudah terpengaruh dengan nafsu yang membawa kepada keburukan. Kebaikan diperoleh hasil melakukan kejahatan tidak akan membawa kesenangan atau kebahagiaan. Jika sering melakukan perkara baik, itulah kebahagiaan hidup sebenar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda