KUALA LUMPUR, 2 FEB – Malaysia Airlines hari ini mengumumkan ia akan membenarkan pembatalan tiket dengan bayaran balik penuh selain perubahan ke atas tiket secara percuma bagi penerbangan pergi dan balik dari China.
Langkah tersebut diambil selepas Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengenakan sekatan masuk sementara ke atas warganegara China dan warga asing yang telah mengembara ke China dalam tempoh 14 hari terakhir, berkuat kuasa semalam.
Mereka yang mempunyai Pas Bekerja, Pas Pelajar dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang akan dibenarkan masuk dan tertakluk kepada kuarantin wajib sendiri di rumah selama 14 hari untuk mengurangkan penyebaran wabak 2019 novel koronavirus di negeri itu.
Syarikat penerbangan itu berkata penumpang memegang tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 28 Jan untuk perjalanan bagi tempoh dari 28 Jan hingga 29 Feb ke dan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Xiamen akan dibenarkan untuk pembatalan dengan bayaran balik penuh.
Mereka juga boleh membuat perubahan sekali sahaja bagi tiket penerbangan dengan pengecualian perubahan dan pembatalan, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini. – Bernama
