KUALA LUMPUR, 30 April – Malaysia Airlines Bhd (MAB) memberi amaran bahawa ia akan mengambil tindakan ke atas penyalahgunaan tanda dagangannya yang berdaftar.
MAB dalam satu kenyataan, berkata logo dan nama syarikat itu merupakan tanda dagangan yang berdaftar dan dimiliki secara eksklusif oleh Malaysia Aviation Group (MAG).
Sebarang pelanggaran yang tidak dibenarkan ke atas nama dan logo syarikat itu tidak akan diterima, dan tindakan sivil akan diambil jika ada pihak menggunakan logo dan nama Malaysia Airlines bagi kepentingan peribadi mereka sendiri.
“Ini juga terpakai bagi semua nama dan logo di bawah MAG merangkumi Firefly, MASwings dan MABkargo,” kata MAB. – Bernama