Malaysia Airlines beri kit kebersihan percuma

KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Malaysia Airlines Bhd memulakan fasa selanjutnya kempen ‘Fly Confidently’ di bawah Malaysia Aviation Group dengan memberikan kit kebersihan percuma kepada semua penumpang mulai semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airlines berkata penumpang akan menerima kit kebersihan yang dilengkapi penutup mulut dan hidung bukan pembedahan, sepeket pensanitasi tangan dan sepeket tisu pensanitasi dalam bungkusan berzip bersaiz kecil.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan kumpulan, Lau Yin May berkata syarikat penerbangan itu komited untuk memberikan pengalaman yang menyeluruh kepada pelanggan dan ketenangan ketika melakukan perjalanan dengan syarikat penerbangan itu.

“Bermula dari saat mereka menempah tiket penerbangan, tiba di lapangan terbang dan melepasi Imigresen untuk menaiki pesawat, semua langkah itu telah diintegrasikan dengan lancar, dilengkapi langkah-langkah keselamatan dan kesihatan untuk melindungi pelanggan dan petugas,” katanya.

Kempen ‘Fly Confidently’ Malaysia Aviation Group berhasrat menjadikan penerbangan lebih selamat dan meningkatkan kesedaran pelanggan, selain mengutamakan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan sejajar dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa dan garis panduan perubatan dan alam sekitar. – Bernama