CYBERJAYA, 31 Okt – Malaysia akan menghoskan Sidang Kemuncak Belia Komanwel selama tiga hari bermula Jumaat ini yang menghimpunkan menteri-menteri belia, pegawai kanan kerajaan dan kumpulan pemikir.
Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) Kishva Ambigapathy berkata sidang kemuncak dwitahunan bertemakan ‘Intergenerational Convergence’ itu dijangka disertai lebih 350 pemimpin belia terpilih dari 53 negara Komanwel bagi membincangkan empat isu iaitu Dasar Iklim dan Kewangan, Ekonomi Digital dan Keusahawanan, Pemupukan Keamanan dan Ketidaksamaan Global, serta Persepaduan Sosial.
Antara tokoh terkemuka yang dijangka hadir ialah Putera Charles yang akan mengadakan lawatan sulung ke negara ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta rakan sejawatannya dari Jamaica, Floyd-Green dan Timbalan Setiausaha Agung Komanwel, Dr Josephine Ojiambo, katanya pada sidang media hari ini.
Kishva berkata sidang kemuncak anjuran CYC dengan kerjasama Sekretariat Komanwel dan kerajaan Malaysia itu bertujuan membangunkan potensi kreatif dan inovatif belia dalam mengatasi cabaran antarabangsa seperti keganasan, perubahan iklim dan pengangguran.
“Sidang kemuncak ini mempelawa belia Malaysia untuk menyertai dan berkongsi idea, pengalaman serta memainkan peranan substantif akan bagaimana memaksimumkan sumbangan dan penyelesaian berpotensi dalam situasi sosial dan ekonomi. Kami mahu pemimpin bekerjasama dan berbincang dengan belia dunia dalam mewujudkan penyelesaian terhadap masalah global,” katanya.
Kishva berkata perasmian sidang kemuncak itu akan diadakan di University of Notthingham, Semenyih pada 3 November, diikuti malam gala dan seminar pada 4 dan 5 November di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di sini.
Beliau berkata dua individu termasuk seorang dari Malaysia akan dipilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Komanwel pada malam gala manakala beberapa resolusi dan inisiatif berkaitan pembangunan belia akan diluluskan pada hari terakhir sidang kemuncak. – Bernama