PUTRAJAYA, 29 Jun – Langkah konkrit yang diambil kerajaan dan menyumbang kepada penambahbaikan kedudukan negara daripada Tahap Dua Senarai Pemerhatian kepada Tahap Dua dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2017 hanyalah permulaan kepada satu siri langkah-langkah untuk melindungi hak asasi manusia dan hak mangsa pemerdagangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.
Beliau berkata kerajaan Malaysia akan teruskan usahanya melindungi hak asasi manusia serta menambah baik kedudukan dalam laporan TIP pada masa depan.
“Peningkatan kedudukan yang diberikan Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam laporan TIP terkini itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen kerajaan dan keberkesanan usaha bersepadu yang diambilnya dalam melindungi hak asasi rakyat termasuk warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi dan penindasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah-langkah telah diambil melalui pelaksanaan Komitmen Mandatori Majikan dalam pengambilan pekerja asing bagi memastikan hak warga asing berdasarkan terma-terma pekerjaan yang diterima secara universal dipatuhi oleh majikan mereka.
Low berkata pendekatan baharu yang diambil kerajaan ialah perkongsian rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai keupayaan untuk memberi sokongan penjagaan kepada mangsa. “Melalui perkongsian ini, kerajaan akan menyediakan sumber kepada NGO yang diiktiraf untuk membangunkan kapasiti jangka panjang dan bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi menyediakan penyelesaian mampan kepada semua pihak berkepentingan.
“Usaha-usaha ini akan diperkukuh oleh EAIC (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan) yang akan mengadakan pemeriksaan bebas berkala terhadap keadaan pusat tahanan dan perlindungan, Sebarang penderaan yang dilaporkan juga akan disiasat secara bebas oleh EAIC,” katanya.
Malaysia telah dinaikkan ke Tahap Dua dalam Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat (AS) 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS pada 27 Jun lalu.
Laporan tahunan itu menilai 187 negara dalam usaha mereka menangani pemerdagangan manusia menerusi tiga komponen iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan. Kedudukan Tahap Dua merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak 2007. – Bernama