KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Malaysia melakar sejarah selepas memenangi pingat gangsa pertama kategori lelaki, sekali gus menamatkan penantian dua dekad sejak penampilan pertama pada Kejohanan Kanu Polo Asia 2025 di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini.
Skuad Malaysia menewaskan Singapura 2-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga selepas tewas 2-4 kepada Jepun pada saingan separuh akhir edisi ke-19 kejohanan itu.
Hasil gabungan kejayaan skuad bawah 21 tahun (B-21), Malaysia menutup tirai kejohanan dengan satu pingat emas dan dua gangsa, pencapaian terbaik negara dalam sejarah penganjuran kejohanan berprestij itu.
Skuad wanita B-21 menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia sejak penampilan sulung pada 2005, manakala skuad lelaki B-21 pula meraih pingat gangsa.
Naib Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Raja Shahrul Azremel berkata kejayaan itu membuktikan kekuatan negara dalam sukan berkenaan semakin meningkat dan menggesa agar acara kanu polo disenaraikan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia. – Bernama


