Monday, April 29, 2024
24.9 C
Brunei

    -

    Malaysia ambil tindakan halang tuntutan kumpulan Sulu

    PUTRAJAYA, 30 SEPT – Kerajaan Malaysia akan melaksanakan tindakan perundangan di Belanda untuk mengenepikan dan menghalang sebarang percubaan oleh kumpulan Sulu untuk menyita aset milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Mengulas laporan mengenai tindakan terkini kumpulan Sulu yang mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di mahkamah Belanda terhadap aset Malaysia di sana termasuk rangkaian aset milik Petronas, beliau menjelaskan aset Petronas bukanlah milik kerajaan Malaysia, dan permohonan untuk mengiktiraf serta menguatkuasa aset-aset berkenaan adalah suatu pencabulan proses mahkamah.

    Beliau berkata percubaan terkini kumpulan Sulu untuk merampas aset didakwa milik Malaysia di Belanda itu adalah tindakan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

    “Pendirian kerajaan Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah di Paris pada Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya perintah yang diperolehi sekiranya dikuatkuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi serius kepada kestabilan negara lain, dan perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah di samping tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu.

    Sebagai contoh, katanya tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada Sepanyol ke Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

    Bagaimanapun menurutnya kumpulan Sulu tetap meneruskan usaha-usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya.

    Sebagai tindakan balas, Wan Junaidi berkata Malaysia meneruskan prosiding mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepikan dan membatalkan perintah berkaitan, dan yakin prosiding mahkamah itu akan menyebelahi Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...