Friday, July 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia anjur persidangan maritim ASEAN pertama

    KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Maritim Masa Depan ASEAN yang julung kali diadakan minggu ini, perhimpunan serantau peringkat tinggi itu bertujuan untuk merancang masa depan maritim yang lebih hijau, lebih selamat dan inklusif untuk Asia Tenggara.
     
    Dalam satu kenyataan kelmarin, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia berkata acara itu akan menghimpunkan pihak berkepentingan maritim terkemuka dari kesemua 10 Negara Anggota ASEAN, termasuk pihak berkuasa pelabuhan, jabatan marin dan pemimpin sektor swasta.
     
    Persidangan itu, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, Sekretariat ASEAN dan Kerajaan Australia, akan berlangsung semasa Minggu Maritim Malaysia 2025 dan mencerminkan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
     
    Ia menyatakan bahawa persidangan itu dijangka mengukuhkan aspirasi ASEAN untuk menerajui perdagangan dan ketersambungan maritim yang mampan, dengan kerjasama awam-swasta dan inovasi memacu transformasi landskap maritim serantau.
     
    Topik perbincangan utama termasuk penyahkarbonan maritim, piawaian keselamatan, pendigitalan dan membina peralihan yang adil ke arah sektor maritim yang lebih berdaya tahan iklim.
     
    Menurut penganjur, persidangan itu akan menjadi platform penting untuk dialog dan perkongsian serantau, memupuk kerjasama teknikal jangka panjang, inovasi dan pelaburan dalam kapasiti dan daya tahan maritim.
     
    “Persidangan Maritim Masa Depan ASEAN mencerminkan kekuatan Perkongsian Australia untuk Infrastruktur (P4I), yang menyediakan tindakan praktikal mengenai penyahkarbonan maritim.
     
    “Dengan bekerjasama rapat dengan Sekretariat ASEAN dan Negara Anggota ASEAN, Australia berkongsi pengajaran, membina hubungan institusi, dan mempercepatkan kemajuan kolektif di seluruh Asia Tenggara,” kata Duta Besar Australia ke ASEAN, Tiffany McDonald. – Bernama
     
    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda