Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia, Arm kerjasama hasilkan semikonduktor canggih

    KUALA LUMPUR, 5 MAC – Syarikat cip gergasi Britain, Arm Holdings menandatangani perjanjian dengan Malaysia hari ini untuk memperkukuh usaha negara Asia Tenggara itu menghasilkan semikonduktor canggih di tengah-tengah perang perdagangan teknologi Amerika Syarikat-China.

    Perjanjian itu akan menyaksikan Arm milik Softbank menyediakan reka bentuk cip dan teknologi lain, membantu Malaysia beralih kepada pengeluaran lebih nilai tambah seperti fabrikasi wafer dan reka bentuk litar bersepadu.

    Negara Asia Tenggara itu membayar AS$250 juta dalam tempoh sedekad untuk menerima sokongan daripada syarikat Britain itu, wartawan diberitahu semasa taklimat Kementerian Ekonomi Malaysia.

    “Melalui perkongsian komprehensif dengan Arm, kami telah merangka salah satu rancangan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah dilihat Malaysia – untuk mempelopori cip AI Buatan Malaysia,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapannya sebelum menyaksikan pemeteraian itu.

    “Cip berkenaan akan direka bentuk, dikilangkan, diuji dan dipasang di sini, dan dijual ke seluruh dunia.”

    Selain itu, Arm juga akan menubuhkan pejabat pertamanya di Asia Tenggara di Kuala Lumpur, bertujuan untuk meluaskan capaian syarikat itu di rantau ini serta Australia dan New Zealand, kata Anwar.

    Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli berkata kerjasama itu akan membolehkan Malaysia dan Arm ‘membina rantaian bekalan lengkap dalam industri maju seperti pelayan data AI (kecerdasan buatan), kenderaan autonomi, Internet of Things, robotik dan lain-lain.’

    Beliau berkata kira-kira 10,000 jurutera semikonduktor tempatan akan dilatih di bawah perjanjian itu.

    Dedi Iskandar, pengarah serantau Asia Pasifik di datacenterHawk, berkata perjanjian itu akan menjadikan Malaysia ‘sebagai salah satu negara elit di Asia Pasifik yang memiliki keupayaan reka bentuk cip AI termaju selain Taiwan, dan Singapura.’ – AFP

    Anwar Ibrahim (tengah) dan Rene Haas (dua kanan) bergambar ramai pada majlis pelancaran kolaborasi antara Malaysia dan Arm Holdings di Kuala Lumpur kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda