Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia bakal eksport durian segar ke China

    KUALA LUMPUR, 19 JUN – Malaysia akan mula mengeksport durian segar ke China setelah kedua-dua negara itu menandatangani beberapa perjanjian perdagangan dan ekonomi hari ini semasa lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang bersempena ulang tahun ke-50 hubu-ngan diplomatik antara Malaysia dan China.

    Li mengadakan perbincangan tertutup dengan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, di ibu negara pentadbiran kerajaan, Putrajaya sebelum kedua-duanya mengadakan pertemuan delegasi.

    Kedua-dua pemimpin menyaksikan penandatanganan pelbagai perjanjian, termasuk perjanjian baharu untuk tempoh lima tahun dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan yang menurut pegawai kerajaan akan memperkukuh hubungan antara industri dalam sektor utama seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.

    Kedua-dua pihak juga memeterai protokol mengenai langkah-langkah yang membolehkan Malaysia mengeksport durian segar ke China, menurut Pejabat Perdana Menteri Malaysia dalam satu kenyataan.

    Aktiviti pengeksportan durian segar ke China itu diharap akan membuka laluan pasaran baharu bagi Malaysia, yang mula menjual pulpa dan pes durian ke China pada 2011 dan durian sejuk beku pada 2018, di mana nilai eksport durian sejuk beku Malaysia ke China pada tahun yang sama menyaksikan lonjakan ketara dari RM170 juta kepada hampir RM1.2 bilion sehingga tahun lepas.

    Li, yang merupakan Perdana Menteri China pertama melawat Malaysia sejak 2015, tiba kelmarin untuk lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, berkata China bersedia bekerjasama dengan Malaysia, menjadikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik itu sebagai titik permulaan baharu untuk memperkukuh hubungan dan meningkat pertukaran.

    “Pada masa ini, China sedang memajukan pemodenan warga China secara menyeluruh melalui pembangunan berkualiti tinggi. Malaysia, di pihaknya, sedang mempromosi pembangunan negara di bawah visi Malaysia MADANI. China sedia bekerjasama dengan Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita Bernama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. – AP

    Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang (kiri) di bangunan Perdana Putra, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda