Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia bakal hantar pemerhati pantau pilihan raya Myanmar

    YANGON, 10 OKT – Junta Myanmar hari ini menyatakan bahawa Malaysia akan menghantar pasukan pemerhati ke pilihan raya yang telah lama tertangguh di negara itu, ketika tentera berdepan pelbagai kumpulan pemberontak yang menentang penganjurannya.

    Perang saudara telah membelenggu Myanmar sejak tentera merampas kuasa melalui kudeta pada tahun 2021, menahan tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi dan menggulingkan kerajaan awam pimpinannya.

    Tentera mendakwa pilihan raya, yang dijadualkan bermula secara berperingkat pada 28 Disember, sebagai jalan mencapai perdamaian.

    Namun, para pemerhati antarabangsa melihat pilihan raya itu sebagai helah untuk mengesahkan pemerintahan tentera yang berterusan, sementara ramai bekas ahli parlimen yang digulingkan dijangka memboikotnya dan kumpulan penentang bersenjata akan menghalang penganjurannya di kawasan yang dikuasai mereka.

    Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di ibu negara Naypyidaw kelmarin untuk bertemu dengan ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing.

    Min Aung Hlaing (kanan), berjabat tangan dengan Mohamad Hasan semasa pertemuan di Naypyidaw, pada 9 Oktober. – AFP

    Akhbar kerajaan Global New Light of Myanmar hari ini melaporkan bahawa Mohamad ‘berjanji akan menghantar pasukan pemerhati pilihan raya ke Myanmar.’

    Sebagai pengerusi blok ASEAN yang terdiri daripada negara-negara Asia Tenggara, Malaysia ‘menjamin bahawa ASEAN akan menekankan kerjasama terbaik dengan Myanmar dalam usahanya,’ menurut laporan itu.

    Kementerian Luar Malaysia belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP.

    Dalam kenyataan kelmarin, Kementerian Luar Malaysia berkata bahawa agenda pertemuan itu turut merangkumi perbincangan mengenai rancangan pilihan raya Myanmar dan usaha menghentikan pertempuran.

    Global New Light of Myanmar juga melaporkan bahawa sebanyak 57 parti politik ‘yang mematuhi keperluan undang-undang’ serta lebih 5,000 calon akan bertanding dalam pilihan raya nasional tersebut.

    Kerajaan yang diterajui tentera itu berkata pilihan raya akan diadakan secara berperingkat bermula 28 Disember, dengan keputusan dijangka diumumkan pada akhir Januari. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda