Friday, March 21, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia bakal umum langkah pemulihan ekonomi

    KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Kerajaan akan mengumumkan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memperincikan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata RMK-12 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 September 2021 manakala Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021.

    “Saya juga ingin maklumkan, Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan atau Recovery, Resilience, Reform.

    “Sehubungan ini, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri-menteri pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.  

    Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan juga buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Belanjawan termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan belanjawan tahunan.

    Menyedari situasi rakyat semasa keadaan yang sukar, Perdana Menteri berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan telah melaksanakan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi dengan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat. 

    “Bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kemudiannya PRIHATIN PKS Tambahan dan diikuti dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), KITA PRIHATIN, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), PEMERKASA Tambahan dan terkini pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM530 bilion. – Bernama

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda