Oleh Fadhil Yunus –
SURABAYA, 19 JULAI – Pasukan bawah 19 tahun (B19) Negara Brunei Darussalam tewas dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Kejohanan Lelaki B19 ASEAN selepas dibelasah Malaysia 11-0 di Stadium Gelora 10 November di Surabaya, Indonesia, hari ini.
Tabuan Muda mendapati diri mereka berada di belakang apabila Malaysia memecah kebuntuan pada minit kedua menerusi G Pavithran.
Pemain penyerang B19 Malaysia, Abid Safaraz Rozaidi, menjaringkan dua gol pada minit ke-14 dan ke-16 sebelum Danish Hakimi Sahaludin menambah gol keempat pada minit ke-25.
Haykal Danish Mohd Haizon menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-42 sebelum Pavithran menjaringkan gol keduanya dalam permainan hanya seminit kemudian.
Harimau Muda meneruskan serangan selepas rehat dengan Izzat Syahir Mohd Zulihsan, Amir Farhan Mohd Fuzi, Zamirul Hakim Mohamad Khair, Abid (dua gol), dan Shafizan Arshad melengkapkan kemenangan menyeluruh.
Brunei akan meneruskan kempen menentang Thailand pada 22 Julai.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/07/P22-3C_20072024.jpg)