Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia beri amaran kepada TikTok perketat sekatan umur

    KUALA LUMPUR, 5 SEPT – Malaysia kelmarin memberi amaran kepada TikTok supaya mengetatkan penguatkuasaan sekatan umur pengguna di negara itu bagi membendung buli siber, sambil menegaskan platform media sosial tersebut boleh dikenakan tindakan jika gagal mematuhi peraturan.
     
    Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata insiden buli siber semakin meningkat, selain munculnya penipuan berasaskan teknologi deepfake yang kebanyakannya dimuat naik di TikTok dan Facebook.
     
    “TikTok menyatakan bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan mempunyai akaun, tetapi realitinya ia tetap berlaku,” kata Fahmi dalam sidang media di Kuala Lumpur.
     
    “Saya tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius mengambil tindakan untuk menangani isu ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai TikTok di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
     
    “Perkara ini telah disampaikan kepada TikTok. Perlu ada sistem pengesahan umur,” tambahnya. Beliau berkata butiran lanjut akan dibincangkan antara TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak polis.
     
    TikTok, yang dimiliki syarikat China ByteDance, tidak dapat dihubungi segera untuk mengulas.
     
    Malaysia akan memperkenalkan undang-undang baharu yang komprehensif bermula Oktober ini bagi meningkatkan keselamatan dalam talian, khususnya untuk golongan bawah umur. – AFP
     
    Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berucap pada sidang media semasa Sesi Pertemuan antara Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama wakil TikTok di Menara 1 Bukit Aman, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda