Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Malaysia berpeluang juarai BAMTC – Aaron

    KUALA LUMPUR, 10 FEB – Pemain beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia optimis Malaysia berpeluang besar menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlangsung dari 14 hingga 19 Februari ini.

    Aaron berkata, Malaysia boleh meraih kejuaraan sulung pada BAMTC memandangkan skuad kali ini menampilkan barisan pemain kuat antaranya jaguh perseorangan lelaki profesional Malaysia, Lee Zii Jia serta beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah.

    “Sebelum ini menang acara beregu campuran pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, jadi kejayaan tersebut memberi motivasi tinggi kepada kami pada BAMTC,” katanya kepada pemberita selepas hari terakhir kem latihan pusat menjelang BAMTC di sini hari ini.

    Malaysia selaku pilihan keempat kejohanan di Dubai diundi dalam Kumpulan B bersama-sama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah.

    Dalam pada itu, Aaron berkata beliau sudah bersedia untuk digandingkan bersama mana-mana pemain beregu lelaki sama ada gandingan profesional Ong Yew Sin atau Teo Ee Yi pada BAMTC kali ini.

    Aaron sebelum ini pernah digandingkan bersama Teo Ee Yi ketika membawa cabaran negara dalam Piala Thomas bagi edisi 2022 dan 2018.

    Pasangan Aaron, Soh Wooi Yik pula menegaskan tidak akan memandang ringan gandingan India biarpun salah seorang pemain utama mereka, Satwiksairaj Rankireddy difahamkan digugurkan pada BAMTC kali ini akibat kecederaan.

    Beliau juga nekad untuk memberikan aksi terbaik bagi membantu pasukan negara mencapai sasaran sekurang-kurangnya ke separuh akhir seperti ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). – Bernama

    Aaron Chia (kiri), bersama Soh Wooi Yik semasa dalam Kejohanan Terbuka India pada 22 Januari. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...