Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia berpotensi jadi pembekal bahan mentah utama SAF

    KUALA LUMPUR, 29 MAC – Malaysia mempunyai potensi untuk muncul sebagai pembekal utama bahan mentah bagi aktiviti pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) di rantau Asia Pasifik menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa selain mengoptimumkan rantaian bekalan, kata MIDF Research.

    Dalam nota hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, Malaysia juga mampu memainkan peranan dalam pasaran SAF global dengan memanfaatkan sumber bahan mentah yang besar, industri biobahan api yang mantap, sokongan kerajaan serta kerjasama kukuh dengan kalangan penggiat minyak dan gas.

    Namun, pada masa sama, cabaran yang perlu ditangani adalah seperti persaingan dengan bahan api konvensional serta industri lain yang mendapatkan bahan sama bagi tujuan tenaga bersih, kekangan teknologi dan kebimbangan alam sekitar. “Ini penting bagi merealisasikan potensi dan menjadikan Malaysia sebagai penggiat utama dalam pengeluaran dan pengedaran SAF,” katanya.

    MIDF Research berkata dalam inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menggunapakai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penerbangan menjelang 2050, selain menyasarkan 47 peratus campuran SAF menjelang 2050.

    Sehubungan itu, ia percaya pengiktirafan sebagai pembekal bahan mentah utama itu akan turut meletakkan Malaysia dalam kelompok yang berperanan penting berkaitan aspek persekitaran SAF.

    “Gabungan bahan mentah dan ketersediaan bahan api Jet A1 menjadikan Malaysia bersedia untuk muncul sebagai antara pengeluar utama SAF di rantau ini. – Bernama

    Gambar Web Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda