Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia bida projek jalan di Rajasthan

    JAIPUR, 2 April – Beberapa syarikat pembinaan jalan raya Malaysia kini membida projek jalan raya negeri di Rajasthan, berjumlah lebih 3,000 kilometer, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Kita berharap bidaan mereka akan dipertimbangkan dengan sewajarnya memandangkan pembida Malaysia menawarkan peluang untuk menambah nilai melalui penggunaan teknologi dan inovasi, melalui pemindahan pengetahuan dan kemahiran, pembiayaan yang baik, dan perkongsian kepakaran dan pengalaman,” kata beliau. Najib berkata syarikat pembinaan Malaysia telah mengambil bahagian lebih daripada dua dekad dalam projek-projek di India.

    “Malah India adalah negara dengan jumlah projek terbesar yang dilaksanakan oleh kontraktor Malaysia.

    “Dari tahun 1996 sehingga akhir 2016, mereka berjaya menyiapkan 98 projek di India, bernilai RM16.06 bilion (atau US$4.64 bilion) secara keseluruhannya,” katanya. Perdana Menteri berkata demikian semasa ‘Taklimat dan Perbincangan Mengenai Projek dan Peluang Pelaburan Di Rajasthan’, yang diadakan di Taj Rambagh di sini. Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri negeri terbesar di India itu, Vasundhara Raje Scindia.

    Delegasi Najib pada majlis itu termasuk Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur, Datuk Seri Utama S. Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid. Najib berkata antara syarikat Malaysia yang telah berjaya melaksanakan projek di India ialah UEM Builders BHd, yang telah menyiapkan lebuh raya di lebih 10 negeri di India, menghubungkan 700 km jalan raya, dan mengintegrasikan plaza tol, jejambat, jambatan dan laluan bawah.

    Projek-projek IJM Corporation BHD termasuk projek jalan Tada Nellore; Raintree Park, perbandaran bersepadu di Hyderabad yang dibina di kawasan seluas 8.3 juta kaki persegi; Prestige Shantiniketan, pembangunan bercampur di Bangalore meliputi kawasan lebih 6.5 juta kaki persegi tanah; dan Pusat Sivik Municipal Corporation of Delhi, bangunan tertinggi di ibu negeri itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda