Malaysia boleh dilanda gelombang ketiga COVID-19

PUTRAJAYA, 27 JULAI – Gelombang ketiga pandemik COVID-19 bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), seperti pemakaian penutup mulut dan hidung dan penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kluster-kluster baharu boleh menjadi punca pertambahan mendadak kes jika tidak dikawal penularannya dengan sebaik mungkin.

“Tsunami (COVID-19)? Kemungkinan ya kalau rakyat Malaysia tak patuh SOP. Tindakan pencegahan lebih penting.

“Kluster baharu ibarat sebagai bara yang sedang membakar, dan kalau kita tidak patuh SOP ibaratnya kita ini sebagai bahan api, jadi jika bara berjumpa dengan bahan api maka merebak menjadi satu kebakaran yang besar iaitu kes akan meningkat secara mendadak,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata KKM telah merekodkan 120 kes baharu pada minggu epik ke-30, iaitu dari 19 Julai hingga 25 Julai lepas) dan ini menjadi kebimbangan sekiranya kes baharu terus mencatatkan peningkatan.

Penumpang kenderaan feri Ro-Ro dilihat memakai penutup mulut dan hidung bagi membendung penularan COVID-19 ketika tinjauan semasa perjalanan daripada Menumbok, Sabah ke Labuan kelmarin. Pemakaiannya akan diwajibkan di kawasan awam yang sesak bermula 1 Ogos ini, ketika Malaysia bergelut berdepan gelombang kedua dan jika tidak mematuhi SOP, kemungkinan gelombang ketiga, kata ketua pengarah kesihatan. – Bernama

“Kalau 2,000 ke 3,000 kes dalam tempoh seminggu, hospital kita akan sesak dan tiada kemampuan untuk merawat pesakit dan pada masa itu kawalan kita akan tertumpu kepada hospital sahaja.

“Tetapi sekarang di peringkat awal (kita masih) boleh kawal dengan mengamalkan SOP seperti memakai penutup mulut dan hidung dan penjarakan sosial, kedua-dua cara ini telah terbukti dapat memutuskan rantaian jangkitan antara 60 ke 70 peratus.

“Kita ada masa dan ruang yang tipis untuk memutuskan rantaian dan yang pasti kalau kita boleh patuh pada SOP, kehidupan harian kita boleh berjalan dengan biasa,” katanya.

Gelombang pertama COVID-19 di Malaysia adalah menerusi pelancong dari China awal tahun ini, manakala gelombang kedua merupakan kes diimport.

Sementara itu ketika ditanya tentang pemakaian penutup mulut dan hidung yang dibuat daripada kain satu atau dua lapis, Dr Noor Hisham berkata ia tidak efektif dalam membantu daripada dijangkiti wabak itu.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan panduan bahawa ia mestilah menggunakan material bersifat hidrofilik dan hidrofobik bagi mengelakkan daripada jangkitan COVID-19.

“KKM tidak menggalakkan penggunaan face mask single layer, non-medical face mask kena ada tiga lapisan. Kalau nak guna penutup mulut dan hidung daripada jenis kain, kena pastikan ia tiga lapis.

“Kita sedang meninjau untuk menyediakan penutup mulut dan hidung kepada golongan memerlukan seperti B40,” katanya. – Bernama