Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia catat 5 kes baharu, 3 dalam negara

    PUTRAJAYA, 27 OGOS – Kes positif COVID-19 hari ini terus mencatatkan satu angka dengan hanya lima kes baharu, tiga daripadanya adalah penularan dalam negara, manakala dua lagi adalah kes import.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tiga kes penularan dalam negara itu, ia melibatkan tiga warga tempatan iaitu dua kes saringan pra-pembedahan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dan satu kes saringan bergejala di hospital yang sama.

    Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,296 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 177 kes.

    “Dua kes import pula dilaporkan di Selangor, yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Filipina dan Mesir, juga melibatkan warganegara,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

    Katanya, terdapat 16 kes yang telah pulih daripada COVID-19 pada hari ini, yang membawa kepada jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,994 kes (96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda