Malaysia catat lima kes baharu koronavirus

KUALA LUMPUR, 5 JULAI – Malaysia mencatatkan lima lagi kes baharu COVID-19 dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini kepada 8,663 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes aktif tersebut empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,465 kes, dengan peratus kes pulih sepenuhnya mencecah 97.7 peratus.

“Daripada lima kes baharu itu, tiga kes adalah kes import melibatkan dua warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara, manakala dua lagi adalah kes penularan dalam negara membabitkan warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memperincikan dua kes penularan dalam negara itu Dr Noor Hisham berkata, kes dikesan melalui saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan. – Bernama