Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia-China perkukuh kerjasama bangunkan industri kereta api

    PUTRAJAYA, 17 APRIL – Malaysia dan China bersetuju untuk memperkukuh serta memajukan industri kereta api melalui kerjasama menyeluruh, merangkumi pembangunan industri rel, perkongsian amalan terbaik serta pelaksanaan projek bersama.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa kerjasama itu dimeterai menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pentadbiran Kereta Api Negara China dan MOT mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam Sektor Kereta Api.

    Pemeteraian MoU antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing yang berlangsung semalam, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping.

    “Antara bidang kerjasama utama yang dipersetujui termasuk pembangunan industri rel, perkongsian amalan terbaik, pelaksanaan projek bersama, penganjuran program latihan dan persidangan, serta pertukaran lawatan rasmi antara pegawai dan pakar.

    “Usaha ini membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pelaburan dalam sistem pengangkutan awam dan peningkatan kecekapan operasi rel di Malaysia. Ia juga dijangka menyokong agenda pembangunan mampan melalui penyediaan sistem pengangkutan mesra alam dan berdaya saing tinggi,” menurut kenyataan itu.

    MOT memaklumkan kerjasama itu sejajar dengan aspirasi kementerian untuk memperkasa jaringan pengangkutan negara, seterusnya meningkatkan kesalinghubungan domestik dan serantau yang akan membawa limpahan kemakmuran pada aspek kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya.

    “China, sebagai rakan dagang dan pelabur utama dalam projek-projek infrastruktur, dilihat mampu memainkan peranan strategik dalam membantu Malaysia membina ekosistem pengangkutan yang efisien, inklusif dan berorientasikan masa depan,” menurut kenyataan itu.

    Sebanyak 31 MoU dan nota pertukaran dimeterai antara kementerian dan agensi kedua-dua negara semalam menandakan komitmen mendalam untuk memperkukuh kerjasama dua hala yang membawa kepentingan strategik khususnya dalam pembangunan infrastruktur dan sistem pengangkutan moden. – Bernama

    Xi (kiri) dan Anwar Ibrahim berjabat tangan selepas menghadiri sesi pertukaran perjanjian di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur pada 16 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda