LANGKAWI, 19 JAN – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bertujuan untuk menjawab persoalan lama, ‘Apa manfaatnya untuk saya?’
Malaysia telah mengamalkan pendekatan menyeluruh di seluruh negara dengan membawa mesyuarat ASEAN ke pelbagai kawasan di negara itu, sekali gus membolehkan masyarakat tempatan memainkan peranan secara langsung dalam aktiviti blok serantau berkenaan.
Di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia komited untuk menjadikan ASEAN lebih mudah diakses dan relevan kepada rakyatnya dengan melibatkan perniagaan serta komuniti tempatan dalam proses itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kabinet telah memutuskan bahawa mesyuarat ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia perlu diadakan di pelbagai negeri di seluruh negara.
“Dengan membawa mesyuarat ASEAN ke pelbagai kawasan, kita boleh melibatkan pemain tempatan. Mereka boleh menjadi sebahagian daripada acara ASEAN dengan membekalkan produk atau menyediakan perkhidmatan untuk mesyuarat itu,” katanya pada penutupan Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini.
Mesyuarat itu merupakan mesyuarat pertama dalam kalendar tahunan ASEAN bagi peringkat menteri di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Mohamad berkata sebagai sebahagian daripada agenda pendekatan menyeluruh seluruh negara, kerajaan telah melibatkan penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dalam aspek tertentu permukiman AMM, seperti membekalkan bahan-bahan tempatan untuk hidangan perwakilan, cenderamata dan peralatan persidangan. – Bernama