Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia destinasi subkontrak IFE

    KULIM, 1 Julai – Perjanjian Program Kerjasama Praperindustrian (Pra-ICP) antara Technology Depository Agency Bhd (TDA) dan Thales International Offset akan menjadikan Malaysia, khususnya Kedah, sebagai destinasi subkontrak bagi skrin hiburan dalam penerbangan (IFE) untuk bekalan global.

    Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (gambar) berkata perjanjian Pra-ICP itu merupakan antara parameter utama bagi pertimbangan pemberian kontrak, dengan Malaysia terutama Kedah dipilih sebagai destinasi subkontrak, mengatasi India dan Thailand.

    “Nilai subkontrak tersebut dianggarkan RM447 juta, namun program subkontrak itu sendiri akan menyaksikan nilai produk buatan Malaysia melebihi RM1.2 bilion pada 2022,” katanya dalam ucapan di majlis menandatangani perjanjian Pra-ICP antara TDA dan Thales International Offset di kemudahan Celestica Malaysia Sdn Bhd yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim di sini, hari ini.

    Lim menyaksikan perjanjian itu ditandatangani oleh TDA yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zailani Safari manakala Thales diwakili Naib Presiden Asia Tenggaranya, Frederique Miller.

    Perjanjian itu adalah hasil rundingan antara TDA dan Thales bagi kerja subkontrak skrin IFE Thales untuk bekalan global yang akan dilaksanakan di Malaysia dan diiktiraf sebagai kredit ICP.

    Thales, antara peneraju pasaran dunia bagi sistem IFE, memilih Celestica, firma Malaysia yang berpangkalan di sini, untuk melaksanakan pembuatan penuh, pemasangan dan pengujian akhir paparan di udara bagi generasi sistem IFE Thales terkini.

    Lim berkata projek itu dijangka mencapai 60 peratus kandungan tempatan dan menjana nilai kredit ICP (ICV) melebihi RM1 bilion bagi peluang perniagaan pada 2022 serta mewujudkan kira-kira 450 peluang pekerjaan setiap tahun selama lima tahun akan datang.

    Beliau berkata, pada masa sekarang TDA menguruskan 88 program ICP dan 441 projek ICP bernilai RM69.3 bilion dengan kedua-duanya menjana ICV RM28.4 bilion.

    “Daripada RM28.4 bilion itu, ICV RM7.9 bilion telah dilaksanakan dengan TDA giat mengenal pasti dan merundingkan baki program ICP yang akan dijalankan di Malaysia,” katanya.

    Peranan utama TDA adalah menguruskan, mentadbir dan memantau pelaksanaan ICP untuk membangunkan lagi industri tempatan dan keupayaan teknologi negara dalam memanfaatkan pemerolehan kerajaan yang strategik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda