Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Malaysia digital penting, percepat pemulihan negara

    KUALA LUMPUR, 14 JAN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berserta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang juga agensi peneraju ekonomi digital negara, telah melancarkan Minggu Ekonomi Digital Malaysia pada acara Ekspo 2020 Dubai.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata pengumuman mengenai Malaysia Digital pada Ekspo 2020 Dubai adalah bertepatan pada masanya serta relevan berikutan proses dan insentif yang dipertingkatkan itu amat penting bagi mempercepat pemulihan ekonomi negara daripada impak pandemik COVID-19.

    “Sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12, Malaysia Digital yang dipertingkatkan ini akan menjadi asas kepada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) membabitkan sasaran pelaburan sebanyak RM70 bilion menjelang 2025,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    Minggu Ekonomi Digital yang berlangsung pada 9-15 Jan, 2022 di Pavilion Malaysia dalam acara ekspo dunia itu, dijangka menjana peluang perdagangan dan pelaburan bernilai RM300 juta selain mendapat 50 petunjuk perniagaan dari serata global.

    Minggu Digital Ekonomi tersebut turut menandakan pelancaran awal Malaysia Digital iaitu program yang dipertingkatkan bagi menggantikan MSC Malaysia yang telah wujud selama 25 tahun.

    Inisiatif baharu itu akan berperanan bagi mempercepatkan ekonomi digital Malaysia dan memberi limpahan ekonomi digital yang besar melalui akses saksama ke atas mekanisme digital, pengetahuan dan peluang pendapatan.

    Malaysia Digital juga dijangka dapat meningkatkan nilai Malaysia bagi menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja baharu yang berteraskan tiga komponen utama iaitu ketangkasan, fleksibiliti dan perkaitan atau relevan.

    Selain itu, Malaysia Digital akan menawarkan ketangkasan yang lebih baik kepada syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa dengan menyediakan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti bagi syarikat untuk memilih daripada insentif fiskal dan atau bukan fiskal yang kompetitif. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...