Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia gesa PBB kenakan sekatan ke atas Israel

    KUALA LUMPUR/NEW YORK, 28 SEPT – Malaysia dengan tegas menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Israel, sambil menegaskan bahawa kekejaman rejim Zionis di Timur Tengah tidak boleh dibiarkan berterusan.
     
    Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) 2025 pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata serangan terbaharu Israel di Doha, Qatar, bukan sekadar serangan terhadap beberapa wakil Hamas tetapi merupakan pencabulan terhadap kedaulatan sebuah negara serta penghinaan terhadap semua usaha pengantaraan.
     
    Beliau berkata serangan itu menandakan keganasan Israel akan terus menggugat kestabilan rantau itu, sambil menekankan bahawa kesannya pasti akan merebak ke seluruh dunia.
     
    “Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia pasti tidak akan berakhir dengan Palestin. Ketika Timur Tengah semakin berbahaya bagi penduduknya, kita akan merasainya di seluruh dunia.
     
    “Inilah sebabnya mengapa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” katanya.
     
    Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menyokong rakyat Palestin melalui apa jua langkah, termasuk Deklarasi New York.
     
    Mohamad berkata tindakan konkrit juga mesti diambil terhadap kuasa pendudukan, manakala sokongan jangka panjang perlu disediakan bagi memastikan pembangunan sebuah negara Palestin yang berkerajaan sendiri. – Bernama
     
    Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan, berucap semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat PBB di New York City pada 27 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda