KOTA KINABALU, 17 APRIL – Kerajaan Malaysia sedang mempergiat usaha untuk terus memperkuat ekosistem pendidikan digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pelbagai segmen yang dilaksanakan secara berperingkat.
Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek berkata antara yang diberikan tumpuan dalam usaha berkenaan ialah memperkukuh prasarana dan juga melalui dasar pendidikan negara itu.
“Kita juga akan mengukuhkan pelan penggunaan pendidikan yang baharu dan pelaksanaan pendidikan yang akan datang jadi, semua terkait rapat dengan pendidikan digital, teknologi, AI dalam usaha kita mereformasikan pendidikan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Kepimpinan MADANI: Cakna Pendidikan Digital di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina juga menekankan bahawa kepentingan pendidikan teknologi adalah keuntungan bersama dalam mengukuhkan serta meningkatkan jati diri anak-anak.

“Di samping berlakunya rempuhan-rempuhan teknologi kini, perkara asas iaitu nilai akhlak, sentiasa diperlukan. Sebab itu kita mengambil pendekatan untuk terus mengukuhkan pendidikan karakter dalam kurikulum baharu nanti yang bakal dilaksanakan pada 2027,” katanya.
Beliau berkata pendidikan karakter perlu seiring dengan pendidikan digital, teknologi dan AI kerana anak-anak masa kini sudah semestinya akan mendapat teladan yang baik.
“Teknologi tidak akan sesekali mengambil alih peranan guru walaupun teknologi semakin maju dari semasa ke semasa, namun guru dan pelajar perlu bersama-sama memperkukuh penggunaan teknologi mengikut perkembangan semasa,” katanya.
Mengulas mengenai isu dakwaan penganjur Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Semporna dikatakan menarik balik pingat naib johan seorang atlet lelaki kategori bawah 15 tahun baru-baru ini, Fadhlina berkata pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara berkenaan. – Bernama