Malaysia hampir bankrap kerana 1MDB 

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, hampir suatu keajaiban Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.

Perdana Menteri berkata, kerosakan tersebut bukan sahaja berkaitan kewangan tetapi juga keinstitusian.

“Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di sini.

Dr Mahathir berkata, ia akan mengambil banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya.

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang disebabkannya kepada negara,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi soal jawab pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini. – Bernama

Melebihi rasuah dan tipu helah kewangan, perdana menteri berkata, seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan.

Katanya, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya.

Katanya, bagi memulihkan dan membangunkan negara, jentera kera-jaan perlu dipulihkan dan efisien.

“Ini bermakna sifar rasuah, jika boleh. Semua usaha telah dilakukan untuk mencapainya. Mungkin kami telah mencapai beberapa kejayaan kerana pertumbuhan telah dikekalkan,” katanya.

Beliau menyatakan beberapa sasaran dalam Wawasan 2020 yang dibuat pada 1991 oleh kerajaan diketuainya sebelum ini, dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 tidak akan tercapai tahun hadapan selepas tergelincir disebabkan pemimpin yang mementingkan diri sendiri. – Bernama