Malaysia hantar Sukhoi dan KD Lekiu

SINGAPURA, 18 OKT – Dua pesawat tempur Sukhoi SU-30MKMs dan KD Lekiu milik Malaysia turut serta dalam acara penerbangan lintas hormat dan pameran kapal tentera laut yang di adakan di Singapura hari ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 Anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Sambutan itu diadakan di Marina South di sini selepas berakhirnya sesi ‘Exercise Bersama Gold 2021’ dengan menampilkan aset dari empat negara anggota FPDA iaitu Australia, Malaysia, New Zealand dan Singapura.

Penerbangan lintas hormat dilakukan dalam tiga profil dikenali formasi delta yang diketuai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan gabungan FPDA membabitkan pesawat tempur dan peronda maritim serta helikopter dari lima negara berkenaan.

Kedua-dua acara itu disiarkan secara langsung di platform media sosial Mindef Singapura pada 12 tengah hari tadi. Hadir sama diacara itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar. – Bernama